Followers

Wednesday, August 24, 2011

0
Komen

Tafakur Sebelum Tidur..

"Tafakurlah sebelum tidur untuk menghisab diri di atas salah dan silap semasa aktiviti pada siang hari sebagaimana Umar bin Khattab menyiasati dirinya dengan pelbagai soalan tentang dosa-dosanya pada siang hari."
-Imam Syafie-

Imbas Kembali Setiap Gerak Langkah.

Setiap malam, sebelum merebahkan diri, sebelum melelapkan mata, sebelum diri diulit mimpi, bertafakurlah sebentar dan cuba tanya-tanyakan pada diri "Adakah sudah meningkat ketakwaanku pada hari ini? Adakah sudah meningkat amalan solehku pada hari ini?"
Putar dan putar kotak fikiran kita. Imbas kembali setiap gerak langkah sepanjang siang tadi. Bandingkan amalan semalam dengan amalan hari ini. Jika amalan hari ini semakin baik, itu tandanya sudah ada peningkatan takwa dalam diri. Tidak kira sama ada amalan itu berkaitan dengan urusan hablumminallah iaitu hubungan dengan Allah SWT ataupun hablumminannas iaitu hubungan dengan manusia.

Bukti ketakwaan semakin meningkat bukan pada banyaknya kerja yang dilakukan pada hari itu, tetapi kesungguhan kita dalam melaksanakan setiap tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah SWT.

Apabila takwa meningkat, ini bererti kesolehan kita juga meningkat. Ini kerana gabungan iman dan takwa melayakkan lelaki ataupun perempuan itu bergelar soleh ataupun solehah. Namun begitu, sejauh mana kita sudah mencapai darjat lelaki soleh ataupun wanita solehah itu? Adakah kita sudah berjaya memilikinya? Oleh itu, suluhlah diri.

Memautkan Hati Kepada Allah SWT.

Hati kita perlu sentiasa terpaut atau teringat-ingat kepada Allah SWT. Kita mesti merasakan segala ketaatan dan amal ibadah kita bukan daripada diri kita. Sebaliknya, ia adalah kurniaan Allah SWT kepada kita. Apabila mendapat nikmat dan kesenangan, kita tidak leka dengannya. Tetapi hati terus terkenang kepada Allah SWT yang memberi nikmat.

Kita tidak pernah melupakan perintah syukur sebagaimana yang dinyatakan di dalam Quran dalam surah al-Baqarah ayat 172 yang bermaksud, "Bersyukurlah kamu kalau betul engkau menyembahNya."

Apabila didatangi dengan pelbagai ujian, tidak kira besar mahupun kecil, bagaikan orang yang terkena kejutan elektrik, hati mestilah terus terkenang-kenang dosa-dosa yang dilakukan.

Adakah ujian demi ujian yang datang itu adalah untuk menghapuskan dosaku? Atau untuk mendidik diriku supaya lebih soleh ataupun solehah? "Wahai Tuhanku,kalau beginilah hukumanMu untukku di atas dunia ini, aku rela menerimanya daripada diazab oleh api neraka yang amat pedih. Ampukan dosa hambaMu Ya Allah."

COPYRIGHT @ SEGALA YANG TERCATAT DIATAS SEMUANYA HAK MILIK JUE